Ahad, 24 Disember 2023

Rasa

 Andai hati mengikut rasa

Pasti selalu berganti

Andai hati mengikut rasa

Nescaya hilang diri

Andai hati mengikut rasa

Akal tidak dipeduli

Andai hati mengikut rasa

Pasti hancur bumi

Andai hati mengikut rasa

Pasti tiada wujud makhluk

Andai hati mengikut rasa

Yang dilihat hanya diri

Yang dipeduli hanya sendiri

Memenuhi kehendak hati

Rasa itu perisa

Suasana itu rasa

Percakapan orang juga rasa

Yang mengaku rasa

Sedangkan diri hanya diulit nafsu

Nafsu rasa

Serba semua tidak menjijak

Mengikut rasa

Jauh membawa diri dek kerana rasa

Rasa diri itu lurus

Sedang diri derita 

Tidak mengenal jalan

Hanya mengikut rasa

Buta.


Isnin, 27 November 2023

Satu

 Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah yang menjadikan sekalian alam. Selawat dan salam kepada baginda yang Mulia, nabi Muhammad SAW. Sejahtera kepada seluruh kaum kerabat Baginda nabi SAW, para sahabat, tabi'in, tabi' tabi'in dan para ulama serta guru seluruhnya. Rahmat Allah atas kalian semuanya.

Menulis di dalam blog ini rasa privasi, tiada yang akan membaca. haha. Begitulah.

Hidup ini penuh dengan kejutan bukan. Kita tidak tahu bagaimana qada' dan qadar Allah diri kita. Kita hanya mampu reda dengan apa yang telah Allah tetapkan atas diri kita. Tidakkan pernah salah apa yang telah Allah aturkan pada diri kita. Aku tetap bersyukur apa yang telah Allah berikan pada diri aku. Aku cuba untuk jadi yang terbaik bagi diriku sendiri. Sukar sebenarnya hendak berbuat baik pada diri sendiri kerana kita tidak kenal diri kita. Kita tidak tahu sejauh mana kemampuan diri kita. hanya Allah yang tahu dan mengenal diri kita yang sebenar-benar. 

Hidup aku pernah hancur. Banyak kali, atau mungkin ia hanyalah perasaan diriku sendiri sahaja. Merasa diri gagal, tidak mampu berbuat apa pun. Tiada tempat hendak mengadu. Bahkan banyak kali berfikir kenapa aku yang Allah uji sebegini. Benci sangatkah Allah pada aku sehingga begini takdir diri aku. Sungguh. Aku benci pada diri aku sendiri. Kurasa hitam sungguh hati ini, sehingga Allah tidak memandang langsung rintihan hambaNya ini. Tidak cukup lagikah ibadahku...aku berkira-kira sendiri. Sedangkan keampunan Allah itu melebihi langit dan bumi dan segala isinya. Bahkan rahmat Allah jua melebihi bumi dan segala isinya. Dimana lagi aku merasa kurang. Tidak! 

Allah sayang aku dan kerana itu Dia berikan aku ujian. Allah sayangkan aku dan kerana itu Dia berikan aku kifarah. Agar aku balik kepadaNya. Yang tinggal cuma amal dan istiqamah. Mujahadah diri itu berat tapi sesuai dengan hasilnya. 

Setiap hari aku khabarkan pada diri ini, bahawasanya Allah sayang aku. Aku sayang diriku sendiri. Banyakkan taubat pada yang Esa. Akui salah diri. Lihat hikmah yang Allah beri. Pandang perkara yang ke depan. Yang telah lepas itu telah lepas. Moga Allah sentiasa reda dengan diri ini.

Ahad, 16 Januari 2022

Bersangka

 Bismillahirrahmanirrahim

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian Alam. Selawat dan Salam keatas junjungan besar yang Mulia, Nabi Muhammad SAW.

Manusia yang suka bersangka-sangka yang tidak baik tidak akan mungkin boleh bersangka baik. Kerana dalam hatinya penuh dengan sangkaan yang tidak baik. Bolehkah kita sebagai manusia atau secara tepatnya sebagai hamba untuk bersangka-sangka? Tidak dinafikan kita punya akal untuk bersangka. Juga punya hati untuk bersangka dan menilai. Nilaian yang kita ada boleh jadi buruk boleh jadi baik. Boleh sahaja untuk kita bersangka. Tetapi dalam keadaan akal yang sihat dan waras. bukan dalam keadaan yang tidak baik. Bersangka yang tidak baik ini dibolehkan sebagai langkah kita berjaga-jaga. Bukan bersangka yang membawa keburukkan atau mudarat pada orang tersebut. Berjaga-jaga akan diri kita agar tidak terjerumus ke arah perkara yang tidak baik. Supaya tidak terjebak. Begitu bersangka buruk. Bukan semata hendak memburukkan manusia yang lain. Adalah lebih baik agar kita bersangka baik. Demi menjaga hati. Hati ini sifatnya lembut. Sifatnya rapuh. Dan hati juga boleh jadi yang paling utuh. Yang dinilai disisi Allah adalah hati jua. Bersangka baik terhadap manusia yang melakukan kejahatan atas diri kita, harus. Agar kita boleh menjaga hati kita. Dalam soal ibadat, soal dekat kepada Allah, wajib kita utamakan diri kita. Buat baik sebab diri kita sendiri. yang memberi balasan adalah Allah jua.

Jadi, peliharalah hati. Bersangka-sangka janganlah selalu kerana perkara itu akan memburukkan hati. Serahkan aturan hidup kita pada Allah. Bulatkan hati percaya dengan qadha dan qadar Allah.

Sabtu, 8 Januari 2022

Salah

 Salah aku meletakkan harapan pada orang yang salah. Salah aku. Mengharapkan sesuatu yang sememangnya tidak boleh. Buruk sangka pada diri ini. Diri hanya mampu tersenyum tanpa kata. Menangis sendiri di dalam hati. Duka siapa yang boleh rasa. Hanya diri sendiri yang bisa merasa. Tika mereka sedang gembira, sedang dalam keadaan puncak bahagia, orang lain yang biasa dianggap penghalang bagi rasa dirinya. Ya. Penghalang kebahagiaan dirinya. Terus, lagi banyak buruk sangka. Aku terima kerana ini nasibku. begini aturan hidupku. Aku terima. Benar, sakit apabila percaya pada manusia. Manusia itu mudah lupa. Manusia itu berjanji tidak tepat. Manusia itu lidahnya bercabang. Cakapnya banyak nista. Cakapnya banyak yang disimpan. Yang baik-baik sahaja diberitahu. Meletakkan pengharapan pada manusia itu jua salah. Ya, aku salah. Tak patut aku mengharapkan manusia. Tak patut aku sayang pada manusia. Tak patut. Aku salah. Aku tarik nafas panjang, hingga berasa di dada. Tarik nafas agar diri ini tidak terus menggila. Agar aku kekal waras, walau air mata lebat. Basah pipi. Pandangan juga berkaca. Tak nampak apa yang ada di depan mata. Dulu dia kata dia pendendam. Sukar melupakan apa yang manusia lakukan pada dia. Tapi kini aku yang terkena jua. Dia tak sedar bahawa dia juga manusia. Aku mahu berdendam jugakah. Aku tidak tahu. Yang aku tahu, aku terluka dan luka itu tak bisa disembuhkan. Bukan sekali terjadi. Banyak kali sudah. Luka apabila banyak kali ditoreh sudah pasti ia sukar untuk disembuhkan lagi.

Selasa, 17 Oktober 2017

Cinta

Segala puji bagi Allah dan selawat salam kepada junjungan besar Baginda Nabi SAW. Segala puji dan puja bagi Allah yang menjadikan cinta atas setiap makhluknya. Yang mewujudkan rasa cinta itu. Syukur dan terima kasih buat junjungan yang Mulia Nabi Muhammad SAW yang menyampaikan cintaNya kepada setiap ummat. Kerana cinta baginda Nabi, kita mengenal cinta kepada Allah. Kita mengenal apa itu ihsan, kasih sayang, hubb.

Aku mencintai dia kerana Allah jua. Betapa dia lah teman, dia lah sahabat, dia lah kekasih hati, dia lah segalanya. Segala rahsia dan kecintaanku ada padanya. Aku doakan semoga Allah sentiasa menjaga dirinya, sentiasa menjadi yang terbaik buat dirinya. Aku doakan diriku mampu untuk menjaganya sampai bila-bila.

Semoga kita berjumpa dan berkumpul di syurga kelak bersama baginda nabi SAW. Sungguh, aku mencintaimu duhai kekasih hati, sahabat dunia akhirat. Moga engkau sentiasa dirahmati.

Catatan dari Hati

Asalamualaikum

Aku mulakan catatan pada hari ini dengan ummul kitab, al fatihah..amiin ya rabbal alamin.

Mencintai banginda Nabi SAW dengan sepenuh hati dan sepenuh penghayatan adalah idaman setiap manusia yang beriman. Mencintai Allah jua dengan sebenar-benar cinta adalah impian setiap manusia yang bertaqwa. Kerana apa? Kerana hanya dengan rahmat Allah dan kasih sayang dari Pencipta yang menjadikan kita hamba yang baik, makhluk yang bermanfaat kepada makhluk yang lain.

Ramai antara kita, termasuk diri yang faqir ini mendambakan kasih sayang Allah, merindukan kasih Rasulullah, mengharapkan zaman kegemilangan Islam sepertimana ketika zaman adanya para sahabat yang benar-benar beriman kepada Allah dan RasulNya.

Ahad, 20 November 2016

Keliru

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, yang menjadikan bumi dan segala isiNya, selawat dan salam kepada baginda Nabi Muhammad SAW, turunnya sebagai rahmat kepada sekalian ummat.

Semakin lama, semakin rumit aku merasakan bagi memahami asal usul keturunanku. Sungguh, sangat sukar untuk aku memahami dari mana datangya lelhurku, hanya melalui penceritaan orang tuaku sahaja. Namun, ianya masih tidak jelas.

Mimpi juga datang bertalu-talu seolah-olah memberitahu sesuatu namun aku gagal dalam memahami setiap mimpi yang aku alami. Bagaikan ianya hanya sesuatu yang datang cuma seketika dan berlegar semasa mimpi itu cuma, dan akan terhapus bila aku kembali ke alam nyata. Semoga Allah mentakdirkan aku untuk dapat menjejak kembali salasilah keluargaku. InshaAllah amiin.

Rasa

 Andai hati mengikut rasa Pasti selalu berganti Andai hati mengikut rasa Nescaya hilang diri Andai hati mengikut rasa Akal tidak dipeduli An...